Sunday, January 10, 2010

Penubuhan National Integrity Watch Centre (NIWC)

Penubuhan National Integrity Watch Centre (NIWC) telah dimulakan oleh sekumpulan anak muda dan mahasiswa dalam mengambil kira semangat perjuangan gerakan integriti dan anti korupsi oleh Gerak. Beberapa tokoh kepimpinan mahasiswa seperti Sdra. Faridzul Nasharuddin, (Timbalan Pengerusi Gerak), Sdra. Aizuddin Nor (Pengerusi Gerak Mahasiswa) dan beberapa teman-teman seperjuangan khususnya aktivis-aktivis mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa telah terlibat dalam penubuhan awal NIWC ini. Pusat ini telah ditubuh pada Disember 2009 yang berpengkalan di Gombak.
Perbincangan awalnya telah dicetus oleh mantan Pengerusi Gerak Mahasiswa, Sdra Faridzul dan Sdra. Aizuddin bersama Pengerusi Gerak, Sdra. Nazree Yunus yang mana beberapa pimpinan mahasiswa telah mengambil keputusan untuk menjadikan kediaman sebagai Pusat Integriti Nasional sebagaimana pengalaman mereka bersama-sama teman-teman daripada Jakarta yang juga menjadikan Indonesian Corruption Watch (ICW) dihidupkan dalam landskap dan lingkungan masyarakat. Ini semestinya membuka ruang buat rakyat kebanyakkan lebih serasi berdamping dengan aktivis-aktivis gerakan integriti dan anti korupsi seterusnya membuka ruang pendidikan integriti yang lebih berkesan buat rakyat kebanyakkan.
Sikap independent kumpulan anak muda dan mahasiswa ini telah menyatakan komitmen untuk menghidupkan NIWC bagi menjadi pusat sehenti bagi menggarapkan nilai-nilai ilmu dan keintelektualan anak muda dan mahasiswa. NIWC digerakkan untuk mengasahkan bakat kepimpinan dalam gerakan integriti yang akhirnya mampu untuk berfungsi sebagai pusat pembentukan ikon anak muda yang akan menjunjung perjuangan rakyat terutamanya berkaitan dengan agenda membudayakan integriti dan anti korupsi.
Menyedari tanggungjawab besar generasi muda, maka angkatan muda yang menerajui gerakan massa dan gerakan rakyat perlu dikukuhkan asas pembentukannya melalui penubuhan Pusat Integriti National ini. Segala kepakaran daripada kepimpinan sedia ada baik di dalam politik mahupun NGO akan dimaksimumkan fungsinya untuk memberikan ruang buat anak muda yang terlibat dalam gerakan di NIWC ini berkongsi secara pragmatik dan rasional nilai ilmu, agama, politik, ekonomi dan pendidikan secara holistik.
Menjadi sejarah pertama di NIWC telah mengadakan sebuah rapat ilmu kecil yang telah diberikan pengisian pertama oleh YB. Dr. Zulkifly Ahmad, MP PAS berkaitan isu-isu selingkar topik GST dan Ekonomi.
NIWC akan diberikan pemantapan untuk melakukan pengisian dan pengkaderan pimpinan muda rakyat dalam memberikan nafas baru terhadap lapangan politik yang berintegriti. Pusat Integriti nasional ini juga dalam rangka menjalinkan perhubungan bersama-sama gerakan NGO-NGO yang lain termasuk beberapa parti politik seumpama PKR dan PAS. Beberapa tokoh daripada PKR dan PAS bakal diundang untuk bersama merencana agenda perjuangan di NIWC.
Pusat ini juga bersedia untuk berkongsi pendekatan gerakan massa dengan mana-mana NGO dan kumpulan mahasiswa. NIWC dirangka untuk menjadi pusat sinergi dalam memberikan empowerment terhadap gerakan anak muda dan kebangkitan gelombang kedua REFORMASI.
-NY-

Thursday, December 10, 2009

SPRM WAJAR SIASAT SETIAUSAHA POLITIK PM SEGERA

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
10 DISEMBER 2009


Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kadar segera memulakan siasatan ke atas dakwaan salahgunakuasa oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri agar skandal korupsi yang didakwa oleh YB Wee Choo Keong ke atas Setiausaha Politik tersebut, Dato Shafie Abdullah dapat diadili sebaik mungkin.

Gerak mengambil serius dakwaan ini kerana ianya telahpun disebut secara langsung di dalam Parlimen Malaysia. Jika tidak ada tindakan daripada pihak SPRM, maka dakwaan yang disebut di Parlimen itu telah dianggap remeh. Demi untuk menjaga kemuliaan Dewan Rakyat & Parlimen Malaysia khususnya, adalah amat wajar untuk sisatan SPRM dilakukan segera.

Gerak melihat kondisi seperti ini amat penting untuk dimulakan siasatan dan didakwa jika terbukti berlakunya unsur-unsur korupsi dan salahgunakuasa. Gerak memberikan sokongan penuh kepada YB Wee Choo Keong untuk terus mendedahkan dakwaan penyelewengan yang berkaitan Setiausaha Politik terbabit. Kita tidak mahu mana-mana pegawai kerajaan baik sama ada lantikan awam ataupun lantikan politik mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dalam aspek yang berkaitan dengan nilai-nilai integriti dan ketelusan dalam pentadbiran.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan baik di peringkat pusat ataupun negeri wajar menjadi benteng pertahanan integriti yang paling kukuh bagi menjaga integriti kerajaan dan kepimpinan tetapi bukannya bertindak sebagai Mr. Political Toll seperti yang didakwa berlaku dalam kes yang melibatkan Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Fenomena kewujudan Mr. Political Toll seumpama ini sebenarnya menggalakkan budaya rasuah dan korupsi dalam pentadbiran. Demi usaha kerajaan untuk memperkasakan integriti dan kredibiliti SPRM, maka amat wajar untuk SPRM sendiri secara segera memulakan siasatan setelah Parlimen sendiri telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat isu ini.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia

Sunday, December 6, 2009

GERAK GESA SPRM DEDAH SIASATAN KES BERPROFIL TINGGI

KENYATAAN MEDIA

6 DISEMBER 2009

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil dan kedudukan siasatan terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti yang pernah dilaporkan oleh NGO-NGO, parti-parti politik dan juga media-media tempatan. Kes-kes berprofil tinggi seumpama kes yang melibatkan ketirisan RM 28 bilion menurut Laporan Audit Negara, dakwaan kehilangan RM 10 juta dana Balkis, komisen 540 juta untuk dua kapal selam Scorpene, skandal RM 12 bilion PKFZ, banglo Khir Toyo RM 24 juta dan juga termasuk pendedahan kenyataan tawaran RM 5 juta oleh penyiasat pensendirian P Balasubramaniam.

Gerak melihat isu-isu yang dibangkitkan ini sebagai isu berkaitan integriti yang wajib ditangani secara serius oleh SPRM walaupun media melaporkan bahawa Ketua Pengarahnya pada hari ini akan bersara awal pada 31 Disember 2009 ini. Gerak juga melihat ini sebagai cabaran oleh Ketua Pengarah SPRM sekarang bagi memberikan kenyataan berkaitan kedudukan dan hasil dapatan siasatan SPRM terhadap kes-kes berprofil tinggi ini.

Gerak juga menyarankan agar Ketua Pengarah SPRM yang baru nanti bermula 1 Januari 2010, Datuk Abu Kassim Mohamed dapat mengetengahkan kes-kes berprofil tinggi ini ke muka pengadilan bagi mendakwa pihak-pihak yang terlibat. Kes-kes besar yang umumnya dimaklumi oleh rakyat wajar untuk mendapat respond yang proaktif daripada SPRM.

Jika SPRM terus membiarkan kes-kes berprofil tinggi tanpa ada suatu bentuk tindakan konkrit yang holistik dalam menyelesaikan kes tersebut, maka sudah pasti SPRM akan terus dilihat gagal dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah suruhanjaya bebas.

Pendedahan oleh P Balasubramaniam harus diambil tindakan segera oleh SPRM untuk mengesahkan dakwaan beliau. Kelewatan SPRM untuk bertindak dalam kes-kes korupsi yang melibatkan pemimpin besar politik akan meruntuhkan tanggapan antarabangsa terhadap tahap integriti institusi pentadbiran negara. Jika SPRM boleh mengambil keterangan daripada menantu Menteri Besar Kelantan berkaitan isu skandal korupsi di PMBK. Mengapa tidak untuk P Balasubramaniam dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan berkaitan pendedahannya cuba disogok RM 5 juta. Tindakan ini perlu bagi memberikan keadilan kepada semua pihak terutamanya bagi pelapor kes-kes korupsi.

Gerak memberikan sokongan penuh kepada SPRM untuk memulakan dan mengambil tindakan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah dan penyelewengan yang berprofil tinggi. Kita berharap agar dengan penukaran Ketua Pengarah SPRM yang baru bermula tahun hadapan mampu memberikan suntikan baru terhadap darjah integriti dan profesionalisme SPRM. Ini suatu bentuk cabaran buat SPRM untuk terus memulihkan imejnya.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia

Sunday, November 15, 2009

GERAK Nafi PAS Terlibat Dalam Laporan Dakwaan Rasuah Tan Sri Khalid Ibrahim

KENYATAAN MEDIA
16 NOVEMBER 2009
Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menafikan penglibatan PAS dalam isu pendedahan laporan dakwaan rasuah MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Beberapa dakwaan laman web http://umno-reform2.com/front/index.php?option=com_content&task=view&id=514&Itemid=58#JOSC_TOP dan blog http://airmataselangor.blogspot.com/2009/11/kerana-kelemahan-khalid-hassan-ali-naik.html yang menuduh Gerak Malaysia telah diberikan dokumen berkenaan oleh PAS Selangor adalah suatu bentuk tuduhan berat kepada Gerak Malaysia. Tuduhan-tuduhan ini sengaja digembar-gemburkan bagi merosakkan reputasi Gerak Malaysia selaku badan bebas yang bertindak secara neutral dan adil dalam melaporkan apa-apa juga isu dakwaan salahgunakuasa dan rasuah.
Gerak menggesa agar pihak yang bertanggungjawab ini untuk mengemukakan bukti-bukti kukuh terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan. Kita bimbang tuduhan ini adalah bentuk-bentuk cabaran kosong tanpa bukti untuk dikemukakan bagi dijawab oleh pihak Gerak.
Gerak tetap berpegang pada prinsip integriti dan bergerak bebas tanpa ada kecenderungan untuk berpartisan dalam mana-mana juga isu yang melibatkan integriti dan anti korupsi. Gerak menyeru agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan rambang dan tidak berasas seumpama ini.
MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia

LAPOR SEGERA SPRM DAKWAAN RASUAH S/U POLITIK PM: GERAK


KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
13 NOVEMBER 2009
Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar YB Wee Choo Keong, Ahli Parlimen Wangsa Maju untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan rasuah yang melibatkan Setiausaha Politik Perdana Menteri sepertimana yang dinyatakan oleh beliau di dalam Parlimen dan disebarkan melalui blog peribadi beliau. Gerak Malaysia melihat dakwaan ini suatu bentuk dakwaan yang serius yang perlu diambil perhatian oleh SPRM apatah lagi melibatkan kedudukan Dato’ Shafie Abdullah sebagai setiausaha Politik Perdana Menteri.

Dakwaan-dakwaan seumpama ini boleh merosakkan imej Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang sering kali menguar-uarkan tentang persoalan integriti. Dalam masa yang sama juga Gerak berpandangan dakwaan oleh YB Wee Choo Keong juga perlu dibuktikan bagi mengelakkan tuduhan tidak berasaskan dilakukan oleh mana-mana pihak.

Gerak berharap agar pihak SPRM dapat mengambil tindakan segera untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan salah guna kuasa oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri ini. Kita tidak mahu imej kepimpinan negara tercemar akibat sikap beberapa pimpinan yang mungkin telah memanipulasikan jawatan, kedudukan dan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu melakukan siasatan dengan adil dan saksama. Isu penderaan saksi dan teknik siasatan ganas SPRM yang telah pun didedahkan oleh saksi-saksi kes rasuah baik daripada parti politik Pakatan Rakyat mahupun UMNO-Barisan Nasional telah menunjukkan bahawa sudah tiba masanya Jawatankuasa Penilai Operasi SPRM menilai dan memberikan garis panduan yang lebih profesional dalam kod etika penyiasatan SPRM.

Sekali Gerak menegaskan agar Ahli Parlimen Wangsa Maju tampil dengan segera untuk melaporkan kepada SPRM untuk membuktikan kebenaran dakwaan beliau dan Gerak Malaysia menyokong penuh usaha tersebut jika dilakukan dengan fakta-fakta dan bahan bukti yang kukuh. Kita tidak mahu isu ini hanya dibangkitkan di Parlimen tetapi tidak ada tindakan susulan yang konkrit. Kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan jenayah rasuah. Agenda Gerak Malaysia adalah untuk membudayakan integriti bagi membentuk Malaysia ke arah pentadbiran ‘Good Governance’ dan bebas rasuah.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia

GERAK saran Ketua Audit lapor SPRM

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA


21 OKT 2009

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) menyarankan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salahguna peruntukan kerajaan, dana awam dan salah gunakuasa seperti Laporan Audit Negara 2008.

Pengerusinya, Mohd Nazree Yunus berkata, terdapat pelbagai contoh meragukan berkaitan penggunaan peruntukan wang kerajaan antaranya Projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang-Ipoh.

Semakan Audit juga mendapati, perolehan peralatan melebihi keperluan dan perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur hingga menyebabkan objektif pelaksanaan projek tidak dapat dicapai seperti ditetapkan.

Keadaan ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung sebahagian kos kerugian dianggarkan berjumlah RM1.14 bilion kerana syarat antara kontraktor bagi Pakej Infrastruktur dikendalikan DRB-Hicom dengan kerajaan menetapkan liabiliti maksimum yang boleh dituntut hanya RM257.99 juta.

Menurut Mohd Nazree, GERAK melihat isu ini jelas sebagai bentuk-bentuk penidakan terhadap nilai-nilai integriti dalam pentadbiran dan pengurusan dana awam.

“Sewajarnya wang dana kerajaan digunakan sebaiknya oleh pihak dipertanggungjawabkan. Namun ada sesetengah pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada dana-dana kerajaan yang diperuntukan,” katanya dalam kenyataan, Rabu.

GERAK juga menyarankan SPRM tegas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak mengambil tindakan terhadap pesalah rasuah kerana laporan Audit Negara boleh dijadikan sumber rujukan terpenting bagi membersihkan sektor kerajaan dan swasta daripada penyakit rasuah.

Mohd Nazree, pihaknya juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat salah gunakuasa dan peruntukan kerajaan secara keseluruhan.

“Adalah tidak munasabah untuk kita terus membiarkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab secara berterusan menyalahgunakan wang rakyat dan dana awam.”

“Tambahan pula setiap tahun kita mendapat maklumat daripada Laporan Audit Negara menyatakan bahawa terdapat atau wujudnya penyelewengan, rasuah dan pembaziran pada skala yang besar,” katanya.-23/10/2009

http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_841a40b8-7f000010-6cf97c00-c336746d

GERAK NAFI JADI AGEN UMNO

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA

5 OGOS 2009
Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi, GERAK Malaysia hari ini kesal dengan kenyataan Setiausaha Poliik Meneri Besar Selangor yang menuduh Gerak sebagai alat Barisan Nasional untuk menyerang Pakatan Rakyat. Sewajarnya tuduhan beliau itu dibuktikan terlebih dahulu. Apakah dengan mendedahkan dakwaan kes-kes rasuah beserta dokumen dan bukti-bukti terbabit, maka Gerak terus dituduh secara melulu sebagai alat Barisan Nasional? Tuduhan wajar dibuktikan.
Sewajarnya kerajaan yang mendokong integriti dan anti rasuah wajib bersama-sama dengan GERAK Malaysia untuk membanteras rasuah dan menolak pemimpin yang korup. Gerak bersedia bekerjasama dengan mana-mana pemimpin politik bagi agenda integriti & anti korupsi.
Jika saranan beliau supaya Gerak Malaysia tidak melaporkan dakwaan rasuah secara melulu kerana MB Selangor telah pun mengarahkan supaya audit dalaman dilakukan terhadap peruntukan semua ADUN, maka apakah pula pandangan Nik Nazmi berkaitan berkaitan demonstrasi ISA jika Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah menyatakan akan dilakukan kajian terhadap ISA?Pandangan beliau wajar berimbang dan jangan hanya dikeluarkan untuk kepentingan politik.
Justeru, GERAK menyarankan untuk diadakan Debat Integriti Terbuka antara MB Selangor dan Pengerusi GERAK Malaysia dan Nik Nazmi selaku Setiausaha Politik MB boleh mengaturkan masa & tempat Debat Integriti tersebut.