Sunday, January 10, 2010

Penubuhan National Integrity Watch Centre (NIWC)

Penubuhan National Integrity Watch Centre (NIWC) telah dimulakan oleh sekumpulan anak muda dan mahasiswa dalam mengambil kira semangat perjuangan gerakan integriti dan anti korupsi oleh Gerak. Beberapa tokoh kepimpinan mahasiswa seperti Sdra. Faridzul Nasharuddin, (Timbalan Pengerusi Gerak), Sdra. Aizuddin Nor (Pengerusi Gerak Mahasiswa) dan beberapa teman-teman seperjuangan khususnya aktivis-aktivis mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa telah terlibat dalam penubuhan awal NIWC ini. Pusat ini telah ditubuh pada Disember 2009 yang berpengkalan di Gombak.
Perbincangan awalnya telah dicetus oleh mantan Pengerusi Gerak Mahasiswa, Sdra Faridzul dan Sdra. Aizuddin bersama Pengerusi Gerak, Sdra. Nazree Yunus yang mana beberapa pimpinan mahasiswa telah mengambil keputusan untuk menjadikan kediaman sebagai Pusat Integriti Nasional sebagaimana pengalaman mereka bersama-sama teman-teman daripada Jakarta yang juga menjadikan Indonesian Corruption Watch (ICW) dihidupkan dalam landskap dan lingkungan masyarakat. Ini semestinya membuka ruang buat rakyat kebanyakkan lebih serasi berdamping dengan aktivis-aktivis gerakan integriti dan anti korupsi seterusnya membuka ruang pendidikan integriti yang lebih berkesan buat rakyat kebanyakkan.
Sikap independent kumpulan anak muda dan mahasiswa ini telah menyatakan komitmen untuk menghidupkan NIWC bagi menjadi pusat sehenti bagi menggarapkan nilai-nilai ilmu dan keintelektualan anak muda dan mahasiswa. NIWC digerakkan untuk mengasahkan bakat kepimpinan dalam gerakan integriti yang akhirnya mampu untuk berfungsi sebagai pusat pembentukan ikon anak muda yang akan menjunjung perjuangan rakyat terutamanya berkaitan dengan agenda membudayakan integriti dan anti korupsi.
Menyedari tanggungjawab besar generasi muda, maka angkatan muda yang menerajui gerakan massa dan gerakan rakyat perlu dikukuhkan asas pembentukannya melalui penubuhan Pusat Integriti National ini. Segala kepakaran daripada kepimpinan sedia ada baik di dalam politik mahupun NGO akan dimaksimumkan fungsinya untuk memberikan ruang buat anak muda yang terlibat dalam gerakan di NIWC ini berkongsi secara pragmatik dan rasional nilai ilmu, agama, politik, ekonomi dan pendidikan secara holistik.
Menjadi sejarah pertama di NIWC telah mengadakan sebuah rapat ilmu kecil yang telah diberikan pengisian pertama oleh YB. Dr. Zulkifly Ahmad, MP PAS berkaitan isu-isu selingkar topik GST dan Ekonomi.
NIWC akan diberikan pemantapan untuk melakukan pengisian dan pengkaderan pimpinan muda rakyat dalam memberikan nafas baru terhadap lapangan politik yang berintegriti. Pusat Integriti nasional ini juga dalam rangka menjalinkan perhubungan bersama-sama gerakan NGO-NGO yang lain termasuk beberapa parti politik seumpama PKR dan PAS. Beberapa tokoh daripada PKR dan PAS bakal diundang untuk bersama merencana agenda perjuangan di NIWC.
Pusat ini juga bersedia untuk berkongsi pendekatan gerakan massa dengan mana-mana NGO dan kumpulan mahasiswa. NIWC dirangka untuk menjadi pusat sinergi dalam memberikan empowerment terhadap gerakan anak muda dan kebangkitan gelombang kedua REFORMASI.
-NY-