Thursday, December 10, 2009

SPRM WAJAR SIASAT SETIAUSAHA POLITIK PM SEGERA

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
10 DISEMBER 2009


Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kadar segera memulakan siasatan ke atas dakwaan salahgunakuasa oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri agar skandal korupsi yang didakwa oleh YB Wee Choo Keong ke atas Setiausaha Politik tersebut, Dato Shafie Abdullah dapat diadili sebaik mungkin.

Gerak mengambil serius dakwaan ini kerana ianya telahpun disebut secara langsung di dalam Parlimen Malaysia. Jika tidak ada tindakan daripada pihak SPRM, maka dakwaan yang disebut di Parlimen itu telah dianggap remeh. Demi untuk menjaga kemuliaan Dewan Rakyat & Parlimen Malaysia khususnya, adalah amat wajar untuk sisatan SPRM dilakukan segera.

Gerak melihat kondisi seperti ini amat penting untuk dimulakan siasatan dan didakwa jika terbukti berlakunya unsur-unsur korupsi dan salahgunakuasa. Gerak memberikan sokongan penuh kepada YB Wee Choo Keong untuk terus mendedahkan dakwaan penyelewengan yang berkaitan Setiausaha Politik terbabit. Kita tidak mahu mana-mana pegawai kerajaan baik sama ada lantikan awam ataupun lantikan politik mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dalam aspek yang berkaitan dengan nilai-nilai integriti dan ketelusan dalam pentadbiran.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan baik di peringkat pusat ataupun negeri wajar menjadi benteng pertahanan integriti yang paling kukuh bagi menjaga integriti kerajaan dan kepimpinan tetapi bukannya bertindak sebagai Mr. Political Toll seperti yang didakwa berlaku dalam kes yang melibatkan Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Fenomena kewujudan Mr. Political Toll seumpama ini sebenarnya menggalakkan budaya rasuah dan korupsi dalam pentadbiran. Demi usaha kerajaan untuk memperkasakan integriti dan kredibiliti SPRM, maka amat wajar untuk SPRM sendiri secara segera memulakan siasatan setelah Parlimen sendiri telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat isu ini.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia

No comments:

Post a Comment