Sunday, December 6, 2009

GERAK GESA SPRM DEDAH SIASATAN KES BERPROFIL TINGGI

KENYATAAN MEDIA

6 DISEMBER 2009

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil dan kedudukan siasatan terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti yang pernah dilaporkan oleh NGO-NGO, parti-parti politik dan juga media-media tempatan. Kes-kes berprofil tinggi seumpama kes yang melibatkan ketirisan RM 28 bilion menurut Laporan Audit Negara, dakwaan kehilangan RM 10 juta dana Balkis, komisen 540 juta untuk dua kapal selam Scorpene, skandal RM 12 bilion PKFZ, banglo Khir Toyo RM 24 juta dan juga termasuk pendedahan kenyataan tawaran RM 5 juta oleh penyiasat pensendirian P Balasubramaniam.

Gerak melihat isu-isu yang dibangkitkan ini sebagai isu berkaitan integriti yang wajib ditangani secara serius oleh SPRM walaupun media melaporkan bahawa Ketua Pengarahnya pada hari ini akan bersara awal pada 31 Disember 2009 ini. Gerak juga melihat ini sebagai cabaran oleh Ketua Pengarah SPRM sekarang bagi memberikan kenyataan berkaitan kedudukan dan hasil dapatan siasatan SPRM terhadap kes-kes berprofil tinggi ini.

Gerak juga menyarankan agar Ketua Pengarah SPRM yang baru nanti bermula 1 Januari 2010, Datuk Abu Kassim Mohamed dapat mengetengahkan kes-kes berprofil tinggi ini ke muka pengadilan bagi mendakwa pihak-pihak yang terlibat. Kes-kes besar yang umumnya dimaklumi oleh rakyat wajar untuk mendapat respond yang proaktif daripada SPRM.

Jika SPRM terus membiarkan kes-kes berprofil tinggi tanpa ada suatu bentuk tindakan konkrit yang holistik dalam menyelesaikan kes tersebut, maka sudah pasti SPRM akan terus dilihat gagal dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah suruhanjaya bebas.

Pendedahan oleh P Balasubramaniam harus diambil tindakan segera oleh SPRM untuk mengesahkan dakwaan beliau. Kelewatan SPRM untuk bertindak dalam kes-kes korupsi yang melibatkan pemimpin besar politik akan meruntuhkan tanggapan antarabangsa terhadap tahap integriti institusi pentadbiran negara. Jika SPRM boleh mengambil keterangan daripada menantu Menteri Besar Kelantan berkaitan isu skandal korupsi di PMBK. Mengapa tidak untuk P Balasubramaniam dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan berkaitan pendedahannya cuba disogok RM 5 juta. Tindakan ini perlu bagi memberikan keadilan kepada semua pihak terutamanya bagi pelapor kes-kes korupsi.

Gerak memberikan sokongan penuh kepada SPRM untuk memulakan dan mengambil tindakan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah dan penyelewengan yang berprofil tinggi. Kita berharap agar dengan penukaran Ketua Pengarah SPRM yang baru bermula tahun hadapan mampu memberikan suntikan baru terhadap darjah integriti dan profesionalisme SPRM. Ini suatu bentuk cabaran buat SPRM untuk terus memulihkan imejnya.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia

No comments:

Post a Comment