Sunday, November 15, 2009

GERAK saran Ketua Audit lapor SPRM

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA


21 OKT 2009

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) menyarankan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salahguna peruntukan kerajaan, dana awam dan salah gunakuasa seperti Laporan Audit Negara 2008.

Pengerusinya, Mohd Nazree Yunus berkata, terdapat pelbagai contoh meragukan berkaitan penggunaan peruntukan wang kerajaan antaranya Projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang-Ipoh.

Semakan Audit juga mendapati, perolehan peralatan melebihi keperluan dan perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur hingga menyebabkan objektif pelaksanaan projek tidak dapat dicapai seperti ditetapkan.

Keadaan ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung sebahagian kos kerugian dianggarkan berjumlah RM1.14 bilion kerana syarat antara kontraktor bagi Pakej Infrastruktur dikendalikan DRB-Hicom dengan kerajaan menetapkan liabiliti maksimum yang boleh dituntut hanya RM257.99 juta.

Menurut Mohd Nazree, GERAK melihat isu ini jelas sebagai bentuk-bentuk penidakan terhadap nilai-nilai integriti dalam pentadbiran dan pengurusan dana awam.

“Sewajarnya wang dana kerajaan digunakan sebaiknya oleh pihak dipertanggungjawabkan. Namun ada sesetengah pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada dana-dana kerajaan yang diperuntukan,” katanya dalam kenyataan, Rabu.

GERAK juga menyarankan SPRM tegas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak mengambil tindakan terhadap pesalah rasuah kerana laporan Audit Negara boleh dijadikan sumber rujukan terpenting bagi membersihkan sektor kerajaan dan swasta daripada penyakit rasuah.

Mohd Nazree, pihaknya juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat salah gunakuasa dan peruntukan kerajaan secara keseluruhan.

“Adalah tidak munasabah untuk kita terus membiarkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab secara berterusan menyalahgunakan wang rakyat dan dana awam.”

“Tambahan pula setiap tahun kita mendapat maklumat daripada Laporan Audit Negara menyatakan bahawa terdapat atau wujudnya penyelewengan, rasuah dan pembaziran pada skala yang besar,” katanya.-23/10/2009

http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_841a40b8-7f000010-6cf97c00-c336746d

No comments:

Post a Comment